30 August 2010

Kisah Juha Dengan Perompak

Suatu ketika, Juha adalah seorang saudagar yang terkenal lagi kaya raya dan dia juga di kenali sebagai saudagar yang pemurah lagi baik hati, amanah serta suka membuat kebajikan. Dia hidup berdua sahaja iaitu dengan isterinya di dalam sebuah rumah yang sungguh besar. Mereka ditakdirkan Allah tidak mempunyai cahaya mata walaupun seorang.

Maka telah menjadi kebiasaan bagi Juha bahawa seluruh hartanya sama ada yang diperolehi dari hasil perniagaan atau sebagainya dia akan menyimpannya di dalam sebuah peti besi yang besar yang kemudiannya peti besi tersebut di simpan di dalam sebuah bilik khas di dalam rumahnya. Pokoknya seluruh harta yang dimilikinya disimpan di dalam peti besi tersebut.

Dalam masa yang sama dia tidak pernah mengupah pengawal walau seorang pun untuk menjaga rumahnya sedangkan rumahnya itu sentiasa menjadi intipan perompak-perompak yang berkeliaran di dalam bandar tersebut. Juha hanya bertawakal kepada Allah swt atas segalanya.

Maka untuk jadi cerita, pada suatu malam entah macamana tiba-tiba Juha terkejut dari tidur. Kerana apa! kerana dia terdengar suara tapak kaki orang berjalan-jalan di atas bumbung rumahnya. Dia merasakan sudah pastilah ada orang menceroboh masuk ke dalam kawasan rumahnya, dan orang itu tak lain mestilah perompak.

Serta merta badannya mengeletar ketakutan kerana kebetulan dia terdengar si perompak di atas bumbung rumahnya itu mengatakan sesama mereka: "Malam ini kita mesti rompak seluruh harta yang dimiliki oleh Juha....kita jangan tinggalkan walau satu pun. Dan kalau dia melawan, maka kita bunuh dia dan isterinya !".

Bertambah menggeletarlah Juha dibuatnya kerana terlalu takut. Tetapi dia cuba mengawal diri dan perasaannya....lalu dia duduk di atas katil, termenung seketika sambil mulutnya komat-kamit tidak habis-habis mengucapkan kalimah syahadah. Dan dalam kepalanya terfikir bagaimanakah caranya untuk mengatasi masaalah ini, bagaimana untuk menyelamatkan dirinya, isterinya dan juga harta benda kepunyaan.

Tanpa berlengah dia terus mengejukkan isterinya dengan perlahan dan tenang dan dia memberitahu isterinya tentang apa yang sedang berlaku. Setelah agak lama, akhirnya Juha mendapat satu jalan, maka dia pun meminta isterinya supaya berpura-pura berselisih faham dengannya serta memarah-marahnya dengan suara yang tinggi supaya dapat di dengar oleh perompak yang berada di atas bumbung rumah mereka. Juha memberitahu isterinya supaya menanyakan kepadanya dengan suara yang lantang tentang dari manakah dia memperolehi seluruh harta yang di milikinya sekarang ini...dan bagaimanakah caranya! : "Kamu tanyakanlah berulang-kali sehingga aku terpaksa menceritakan tentang rahsia diriku yang sebenarnya kepada kamu yang ianya sama sekali tidak di ketahui oleh sesiapa pun !" tambah Juha dengan berbisik-bisik kepada isterinya.

Lantas si isteri pun mulalah bertanya sepertimana yang di pinta oleh Juha dengan suara yang lantang berulang-kali isterinya berkata :
"Wahai Juha! aku ini isteri kamu. Jadi mengapa pulak kamu tidak percaya denganku!. Mengapa mesti kamu rahsiakan dariku tentang perkara yang sebenarnya ! tentang bagaimana caranya kamu boleh beroleh seluruh harta kekayaan yang kamu miliki sekarang ini....kita sudah lama berkahwin dan aku masih ingat lagi bahawa semasa kita berkahwin dulu kamu tidaklah kaya seperti ini....bahkan hidup kamu miskin papa kedana. Dan aku rasa orang tua kamu tidak ada mewariskan apa-apa harta kekayaan buat kamu. Jadi tolonglah ceritakan kepadaku apakah rahsianya! janganlah kamu menyembunyikannya dariku wahai Juha!".

Lalu Juha pun berkata dengan nada yang perlahan bercampur sedih: "Setelah begini lama kamu hidup denganku barulah kamu mahu bertanya dari mana dan bagaimana aku memperolehi seluruh harta kekayaan yang aku milikinya sekarang ini!".

"Wahai isteriku! bukankah kamu tahu bahawa aku ini adalah seorang saudagar aku ini seorang peniaga yang mahsyur yang dulunya aku terpaksa bekerja keras...bertungkus lumus menempuh berbagai kesusahan dan rintangan maka sudah wajarlah aku memperolehi segala apa yang aku miliki sekarang ini. Dan semua hartaku ini adalah datang dari hasil usahaku yang halal hingga dengan itu aku dapat membuat berbagai kebajikan...aku boleh sedekah sana sini. Dan aku rasa semua orang tahu akan cerita ini, jadi bagaimanalah kamu isteriku tak tahu tentang ini, teman hidup sematiku.... sepatutnya kamulah yang lebih tahu tentang ini. Tetapi kamu yang banyak bertanya pula, sepatutnya kamulah orang yang paling faham dan yang paling tahu tentangku. Semoga Allah mengampunkan kamu wahai isteriku!".

Isterinya tambah tidak berpuashati bahkan si isteri terus berkata serta melaungkan suara semakin kuat: "Wahai Juha suamiku! janganlah kamu berpura-pura! kamu banyak bersedekah dan berbuat kebajikan semua itu supaya orang mengatakan bahawa kamu adalah seorang yang baik hati!. Aku sama sekali tidak percaya segala apa yang kamu sebutkan tadi semua itu adalah tipu dan bohong belaka. Yang semoga dengan itu kamu akan dapat menipu orang ramai dengan begitu mudah sekali. Walau bagaimana pun aku yakin dan percaya bahawa di sebalik ini semua tersembunyi suatu rahsia yang besar dan penting sekali. Masakan harta kekayaan ini semua kamu dapat memperolehinya dalam masa yang singkat!".

Segala pertelingkahan mereka berdua sebenarnya didengar oleh perompak-perompak yang berada di atas bumbung. Mereka mendengar dengan penuh teliti sekali sehinggakan mereka tidak sabar untuk mengetahui apakah rahsia Juha yang sebenarnya saling mereka berpandangan sesama mereka. Dan perkara ini menimbulkan tanda tanya dalam kotak fikiran mereka dan mulalah mereka menyangka yang bukan-bukan tentang bagaimana Juha memperolehi segala harta kekayaannya.

Dan kebetulan mereka pun tidak pernah mendengar bagaimana kisah Juha menjadi kaya, mereka tidak pernah tahu bagaimana kisah perniagaan Juha. Yang mereka tahu ialah tiba-tiba Juha mempunyai rumah besar, harta yang banyak. Di kala itu juga mereka cuba-cuba untuk mengintai-ngintai ke bawah, untuk melihat apa yang sedang di lakukan oleh Juha.

Selang beberapa ketika..kedengaran suara isteri Juha memaksa Juha untuk menceritakan juga apakah rahsia yang sebenarnya. Dia berharap semoga Juha tidak lagi menyimpam rahsia tersebut darinya. Kerana sesungguhnya dia telah berbakti dengan penuh ikhlas sebagai isterinya jadi janganlah pula Juha tidak mempercayainya, bersungguh-sungguh isteri Juha memujuknya, hingga akhirnya oleh kerana tidak tahan isteri Juha pun terus menangis sambil terluncur dari mulutnya :
"Wahai Juha! aku mengingatkan kamu buat kali yang terakhir, iaitu jika kamu tetap juga tidak mahu menceritakan rahsia tersebut, maka sekarang ini juga aku akan keluar rumah meninggalkan kamu seorang diri dan aku tidak akan pulang ke sini sampai bila-bila !".

Juha terperanjat melihatkan gelagat isterinya, hinggakan sanggup dia memperkatakan yang sedemikian itu. Akan tetapi ini semakin menjadikan dia bersemangat untuk memperlakonkan kedudukannya dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Maka dia pun menenangkan isterinya, di pujuknya sambil dia berjanji bahawa dia akan menceritakan rahsia tersebut tetapi dengan syarat hendaklah si isteri menyimpan rahsia tersebut dengan penuh amanah, jangan di ceritakan pada sesiapa pun dan jangan rahsianya terbocor. Serta-merta isterinya berhenti menangis seraya berjanji bahawa dia tidak akan membocorkan rahsia tersebut.

Kemudian Juha pun mulalah bercerita: "Sebenarnya aku dulu adalah seorang perompak yang terkenal...yang sangat pintar....lagi sungguh hebat. Aku mempunyai pengikut yang ramai...mereka semuanya berani, ganas lagi jahat. Bagaimana aku boleh jadi ketua ! sebab aku mempunyai satu ilmu yang ilmu itu tidak ada pada perompak yang lain. Iaitu aku telah mempelajari satu ilmu sihir daripada seorang ahli sihir hindu yang ilmu tersebut sangat merbahaya tetapi sungguh canggih !".

"Kelebihan ilmu ini ialah apabila aku mahu merompak rumah orang kaya caranya begini....aku akan masuk ke dalam rumah orang kaya tersebut tanpa di ketahui...dan aku akan ambil seluruh harta kepunyaannya...setelah itu aku akan keluar semula dengan selamat. Lamalah juga aku melakukannya hinggalah aku benar-benar kaya sekarang ini....setelah agak lama barulah aku berpindah ke bandar ini. Aku bawa seluruh harta kepunyaanku dan orang di bandar ini tidak tahu langsung asal usul ku...apa yang aku lakukan sebelum ini. Tetapi semua itu bukan boleh di lakukan begitu saja...ianya ada bacaan tertentu !".

Ini menjadikan perompak-perompak mendengar bersungguh-sungguh....mereka tidak sabar untuk mengetahui apakah bacaan tersebut. Mereka bertambah seronok lagi apabila mendengar isteri Juha segera memujuknya agar memberitahu apakah bacaan tersebut. Juha tersetuju...tetapi dengan syarat jangan di bocorkan rahsianya ini kerana dia tidak mahu orang lain menggunakannya untuk melakukan kejahatan lagi kerana dia telah bertaubat. Si isteri pun bersetuju....Juha pun menghampiri isterinya...jadi para perompak pun terpaksalah mendengar dengan penuh teliti sekali.

Juha menyambung ceritanya lagi : "Cara aku merompak dulu ialah.....aku akan panjat ke atas bumbung rumah orang tersebut...dan tempat yang aku cari mula-mula sekali ialah aku cari tempat ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah tersebut. Sudah mestilah cahaya bulan kena terang...jadi aku akan pastikan bahawa cahaya bulan dapat masuk melalui ruang tersebut hingga sampai ke dalam rumah. Setelah itu aku akan berdiri betul-betul di atas ruang tersebut sambil mengenakan badanku pada cahaya bulan lantas aku akan menyebut bacaan :

"Syaulam ! Syaulam !"....sebanyak 7 kali. Maka dengan sendirinya cahaya bulan tadi akan membawa aku turun masuk ke dalam rumah melalui ruang tersebut... seakan-akan aku turun dari tangga. Jadi bila dah sampai dalam rumah apa lagi, aku ambil lah segala harta benda dan kemudian aku berdiri semula pada cahaya bulan tadi lantas aku menyebutkan bacaan yang sama sebanyak 7 kali !".

"Serta-merta cahaya bulan itu akan membawa aku dan semua harta yang aku curi naik semula ke atas bumbung rumah. Semua itu aku lakukan tanpa di sedari langsung oleh tuan rumah....sedar-sedar keesokan paginya seluruh harta bendanya telah habis aku curi !. Begitu hebat sekali ilmu yang aku amalkan !".

Kemudian tidak semena-mena Juha pun melaungkan suaranya kepada si isteri : "Ha ! sekarang baru kamu puashati ! kamu dah tenang dah ! kamu dah tahu siapa aku sebenarnya....yang penting kamu mesti simpan rahsia ini betul-betul jangan sampai bocor !. Baiklah ! sekarang ni kita tidurlah...sebab besok banyak kerja yang hendak aku selesaikan...tidurlah !".

Mereka berdua pun kembali masuk ke dalam bilik tidur...tetapi sebenarnya mereka berpura-pura tidur. Juha yakin bahawa sedikit sebanyak cerita yang di reka-rekanya itu tadi dapat menipu daya para perompak yang sedang berada di atas bumbung rumahnya...dan dia yakin sudah pasti mereka akan melakukan sesuatu rentetan dari ceritanya itu tadi.

Bila para perompak tahu bahawa mereka berdua telah masuk semula ke bilik tidur...bukan main seronoklah di buatnya...nak-nak mereka dah tahu rahsia sebenar Juha. Maka ada peluanglah untuk mereka mengamalkan ilmu yang baru mereka perolehi itu.

Suasana senyap buat seketika.. kemudian si ketua perompak mengambil keputusan untuk melakukan seperti apa yang telah di ceritakan oleh Juha. Terus dia mencari ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah. Dan kebetulan pula malam itu bulan mengambang...jadi cahaya bulan pun agak terang. Setelah puas si ketua perompak menjenguk ke dalam ruang tersebut, tahulah dia bahawa ruang tersebut boleh masuk terus ke dalam bilik di mana Juha menyimpan seluruh harta-hartanya.

Dia pun terus berdiri bertepatan dengan ruang tersebut...di kenakan badannya pada cahaya bulan lalu dengan suara yang kuat dia pun menyebut : "Syaulam ! Syaulam !"....sebanyak 7 kali.

Tetapi dia merasa hairan kerana tidak berlaku sepertimana menurut cerita Juha tadi. Mulalah dia tidak berpuashati berulang-kali dia menyebutkan bacaan tersebut tetapi badannya tidak mahu juga bergerak. Akhirnya oleh kerana hilang sabar dia pun terus melompat masuk ke dalam ruang tersebut...kot-kot dengan berbuat demikian akan berlaku sepertimana yang di sangka.

Akan tetapi memang nasibnya kurang baik...memang benar bahawa cahaya bulan tidak berperanan sama sekali. Tanpa di duga dia terus terjatuh ke dalam rumah dari atas bumbung rumah...apa lagi bunyinya seperti nangka busuk jatuh....berdentum. Oleh kerana terlalu sakit dia tidak dapat menahan terus menjerit kesakitan : "Aduh ! Aduh !".

Juha dan isterinya yang memang sudah menyangka akan berlaku sedemikian, bila terdengar suara orang menjerit kesakitan terus bingkas bangun....di capainya sebatang tongkat lalu meluru ke arah bilik khas tempat di simpan peti besi. Tanpa kasihan terus Juha memukul si ketua perompak dengan sekuat hatinya....si ketua perompak pun terus menjerit-jerit bertambah lagi kesakitannya.

Hal ini menyedarkan para perompak yang sedang berada di atas bumbung....tahulah mereka bahawa ketua mereka telah terpedaya dengan cerita Juha...dan sekarang ini dia telah di tangkap oleh Juha. Tanpa berlengah mereka pun terus melompat dari atas bumbung...lari menyelamatkan diri sebelum di tangkap oleh orang ramai.

Dalam masa yang sama Juha dan isterinya sama-sama menjerit-jerit meminta tolong dari penduduk bandar : "Tolong Tolong ! pencuri masuk ke rumahku !".....apa lagi orang ramai pun terjaga dek jeritan tersebut. Mereka terus bangun lalu beramai-ramai berlari menuju ke rumah Juha untuk memastikan apa yang berlaku. Juha pun meminta isterinya mengambil tali lalu mengikat si ketua perompak.

Lembik si ketua perompak di buatnya....Juha terus memukulnya dengan tongkat. Setelahmana orang ramai berkumpul di depan rumah Juha...Juha pun mengeret si ketua perompak yang telah di ikatnya itu keluar. Lalu mereka beramai-ramai membawanya kerumah Tuan Hakim untuk di bicarakan. Sambil berjalan orang ramai tidak putus-putus mengucapkan tahniah kerana telah berjaya menangkap perompak yang selama ini bermaharaja lela di bandar tersebut.

Tuan Hakim terus membicarakan si ketua perompak...dan akhirnya ketua perompak mengaku bersalah seraya memberitahu siapakah pengikutnya... di mana tempat mereka bersembunyi dan begitu juga tempat di mana mereka menyembunyikan segala harta-harta penduduk bandar yang telah mereka curi.

Lantas Tuan Hakim mengeluarkan arahan supaya semua barang-barang curi tersebut di pulangkan kepada tuan-tuannya semula dan semua para perompak di tangkap dan di penjarakan.

Orang ramai merasa gembira..mereka semakin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Juha. Pagi itu juga pihak keselamatan menangkap semua perompak-perompak.....dan semua barang-barang yang mereka curi di pulangkan semula pada tuan-tuannya. Suasana menjadi riuh rendah buat seketika.....mereka tidak sudah-sudah mengucapkan terima kasih kepada Juha dan juga Tuan hakim....sambil mereka beramai-ramai memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah swt.

Dalam riuh rendah itu....tiba-tiba isteri Juha datang menghampirinya seraya berkata : "Nampaknya semua perompak dah tertangkap ! menunjukkan ini ada pelung untuk kamu amalkan semula ilmu kamu tu ! kalau kamu merompak pun orang tak akan tahu siapa yang melakukannya...bukankah ilmu kamu tu hebat lagi canggih !".

Juha terperanjat sebentar bila mendengar kata-kata isterinya....rupa-rupanya si isteri percaya segala apa yang di reka-rekanya malam tadi. Oleh kerana terlalu gelihati dia pun terus ketawa terdekah-dekah : "Kah ! kah ! Kah!"... sambil di dalam hatinya berkata : "Tidak sangka bahawa isteriku boleh terfikir seperti yang demikian !".

No comments:

Post a Comment

Macih sudi komen ^^