05 September 2010

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day.

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah:

Sejarah Valentine's Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine's Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:

من تشبه بقوم فهو منهم

 "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut."( Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

"Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine's Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-menyambut-perayaan-valentines-day


No comments:

Post a Comment

Macih sudi komen ^^