05 September 2010

Membalas Kejahatan Dengan Kebaikan

DAN tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah sahabat karib. (Fussilat: 34)


Huraian

Tidak harus bagi seseorang membalas kejahatan dengan kejahatan, kerana kebaikan itu tidaklah sama kesan dan nilainya dengan kejahatan.
      
Sikap sabar, berlapang dada dan kebolehan melawan kehendak hati untuk membalas kejahatan dengan kejahatan itu dapat mengembalikan hati-hati yang liar kepada ketenangan dan kepercayaan dan dapat mengubah permusuhan kepada persahabatan dan kekasaran kepada sikap yang lembut.
      
Perkara ini berlaku dengan tepat dalam kebanyakan keadaan yang mana keadaan emosi yang berkobar-kobar berubah menjadi tenteram.
      
Kemarahan berubah kepada ketenangan dan sifat takbur berubah kepada malu apabila kekasaran disambut dengan kata-kata yang baik, nada yang tenang dan manusia-manusia pemarah, angkuh dan tidak terkawal perasaan mereka.
      
Sebaliknya jika mereka ditentang dengan tindakan yang sama kasar seperti yang dilakukan oleh mereka terhadap kita, tentulah mereka akan menjadi bertambah garang, angkuh dan liar.
      
Sehingga akhirnya mereka akan membuang sifat malu dan terus melepaskan perasaan mereka di samping merasa bangga dengan dosa yang mereka lakukan.

Sifat ini terbatas hanya kepada kes-kes kebiadapan terhadap peribadi sahaja bukan terhadap kes pencerobohan terhadap agama dan penindasan terhadap golongan yang beriman kerana kes seperti ini wajar ditentang dengan segala cara ataupun bersabar sehingga ALLAH membalas-NYA.



Kesimpulan

Kebolehan membalas kejahatan dengan kebaikan dan kebolehan berlapang dada serta dapat membendung perasaan marah serta membuat pertimbangan adalah darjah yang amat tinggi yang tidak dapat dicapai oleh semua orang.
      
Ini adalah kerana ia memerlukan sifat sabar selain ia merupakan satu anugerah ALLAH kepada hamba-hamba-NYA yang berusaha dan berjuang, lalu wajarlah mereka mendapat anugerah itu.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.




No comments:

Post a Comment

Macih sudi komen ^^