18 November 2012

Someng (Berkaitan dengan Dajjal)

Matahari berpucuk di lengkung langit. Biru nila ditebari tompokan awan nipis. Udara kering. Hujan telah sekian lama keputusan akhbar, seakan-akan tidak mahu lagi singgah ke bumi. Air sungai semakin kontang. Perigi-perigi digali di sekeliling rumah, tetapi tanah yang kering dan merekah hanya mampu mengalirkan keringat hampa ke dasarnya.

Pak Jali duduk di atas banir kelapa. Kemuncup kering keperang-perangan dicabut. Dari celah-celah rekahan tanah, dia terpandang puluhan, atau mungkin ratusan ekor semut merah berbondong-bondong keluar dari kota permukiman. Berdekatan banir yang menampung punggungnya pula, beberapa ekor cacing menggeliang-geliut muncul di muka tanah. Pak Jali mengeluh.

"Astaghfirullah... Aku bukan keluhkan ujian ini, wahai Tuhan. Tetapi aku bimbang dengan dugaan-Mu yang lebih besar." Dia beristighfar lagi. Berkali-kali.

"Ayah, ayah!"

Pak Jali berpaling ke belakang. Rudi membuka langkah deras sambil mengelek ayam jantan kesayangannya. Jalak yang berbalung merah dan berbulu hitam sesekali lemah. Matanya terbuka separuh, hampir tertutup.

"Ayah, Jalak dah nak mati. Mak suruh sembelih!" Rudi menyuakan Jalak ke tangan Pak Jali. Pak Jali yang terpinga-pinga terus memegang kukuh kedua-dua kaki dan leher jalak. Dia diam seketika, merenung mata Jalak dalam-dalam. "Lebih baik aku hantarkan kau ke syurga daripada kau mati sia-sia," bisik Pak Jali di hati kecilnya.

"Cepat ambilkan pisau!"

Rudi berlari pula ke dalam rumah melalui pintu dapur yang dibuka renggang. Dia kembali mendapatkan ayahnya sambil menghulurkan pisau Rambo. Selepas membaca basmalah, dengan sekali takikan, mata pisau itu memutuskan urat halkum dan urat merih di leher Jalak. Jalak diletakkan ke atas rumput kering. Ia menggelupur seketika sebelum benar-benar kejang dan kaku.

Pak Jali melempar pandang ke sawah yang terentang di belakang dapur rumahnya. Sawah itu sudah lama tidak menjadi. Sejak kemarau menyungkup bumi hampir satu setengah tahun, air tidak dapat disalirkan. Udang, ketam, keli, haruan, malah ular sawa dan tedung selar terbongkang-bangking menjadi bangkai di atas tanah sawah itu.

"Jali!" Satu suara garau singgah di cuping telinganya. Bunyinya keras. "Jali!"

Pak Jali menoleh. Seorang lelaki separuh baya berjalan terhenjut-henjut ke arahnya. Haji Musa. Jirannya itu cacat sejak lahir. Kening Pak Jali berkerut. Hairan melihat Haji Musa seolah-olah tidak keruan.

"Jali, kau dah tahu?" Haji Musa tercungap-cungap.

"Tahu apa?"

"Someng."

"Someng? Kenapa?" Pak Jali mulai gusar.

"Semua orang dah heboh. Sebab lepas subuh tadi, masa Ripin nak ke kandang lembunya, dia terserempak dengan Someng."

"Habis, apa jadi pada Ripin?" Pak Jali telan liur. Kegentaran menjalar ke seluruh saraf.

"Apa lagi, kena cekuplah!"

"Innalillah..." Pak Jali menggeleng kepala. "Semoga Allah lindungi kita."

"Kendana tak ada di kampung buat sementara. Tapi penghulu dah hubungi dia. Kendana minta kita amalkan bacaan surah al-kahfi. Katanya, pendinding yang serupa ketika berhadapan dengan dajal. Kalau boleh, hafal sepuluh ayat pertama atau sepuluh ayat terakhir."

Pak Jali angguk.

"Aku kena pergi sekarang. Nak sebarkan kepada orang lain pula. Kalau kau terjumpa sesiapa, tolong ingatkan mereka tentang ni." Haji Musa berkalih ke belakang. Berjalan susah payah meniti batas sawah. Dua, tiga langkah menapak, dia tiba-tiba berpaling, sambil melaung. "Lagi satu, orang perempuan lebih baik duduk di rumah. Bahaya!"

Pak Jali angguk. Haji Musa hilang ditelan rimbunan semak-samun di batas sawah yang suatu ketika dahulu bertanah bencah.


2.

Lelaki pendek, berbadan sangat gemuk. Kulitnya coklat kemerah-merahan. Berkepala besar, rambutnya kerinting berbintik-bintik, tebal berkelok-kelok seperti dahan pokok. Someng. Dia memang jelik dipandang. Mata kiri yang tidak beralis terbelalak persis biji anggur terapung. Someng. Tampangnya sungguh menggerunkan!

Someng berjalan laju. Tapak kaki menyapu tanah garing dan berdebu. Angin kencang. Rambutnya yang menggerbang kian berambu.

Someng mendepa tangan. "Hai, orang kampung! Keluarlah, jangan kalian takuti aku. Aku datang dengan niat baik. Aku mahu bantu kalian." Someng terus berjalan dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Setiap rumah yang dilaluinya bertutup rapat. Sunyi sepi bagai tiada penghuni.

Angin menderu lagi, berkesiuran. Daun-daun kering berguguran, melayah di atas tanah. Someng terus menapak. Sesekali tidak berputus asa. "Keluarlah, aku benar-benar mahu bantu kalian!" Someng mengelih ke deretan rumah-rumah di sebelah kanannya. Dia perasan, ada beratus-ratus pasang mata sedang menjilat susuk tubuhnya. "Kenapa kalian takuti aku? Aku juga makhluk Tuhan seperti kalian. Aku datang dengan niat murni."

Pak Jali berteleku di atas mengkuang lusuh. Lembar al-Quran ditatap dan mulutnya terkumat-kamit membaca surah al-Kahfi. Suara Someng luar cuba tidak diendahkan. Rudi di sisinya turut mengalunkan irama kitab suci itu. Mak Som mengitar biji tasbih, membasahkan lidah dengan zikir.

"Kau syaitan!" Satu tempikan tiba-tiba muncul dari sebuah rumah.

Someng melirik senyum. Lega apabila kata-katanya mulai terpancing. "Jika aku syaitan, masakan kakiku boleh menjejak tanah seperti ini? Cuba kalian lihat." Someng melempar jerangkap. Ada keriutan kedengaran, bunyi lantai dipijak.

Beberapa orang penduduk kampung yang teruja melihat Someng, memata-matai di balik sela-sela dinding papan. Ternyata, kaki Someng mencecah tanah. Pesan Kendana dahulu dilupakan - jangan penuhi sebarang ajakan Someng. Helahnya seribu satu macam!

Orang kampung disergap aneh. Benarkah Someng itu syaitan? Atau manusia? Atau, dia sebenarnya jin separa manusia? Soalan bertalu-talu memukul benak.

"Aku manusia seperti kalian. Rupaku hodoh kerana aku dilahirkan cacat. Aku menerima takdir diriku begini." Someng menyeluruhi dirinya. Mimik muka meraih simpati. "Disebabkan manusia lain tidak dapat menerima kehadiranku, aku telah pergi jauh dari desa kelahiranku sendiri. Aku mendiam di sebuah pulau yang tidak ada khabar tentang keadaan di sini, aku rasa bertanggungjawab untuk menolong." Mata kirinya yang tersembul terkenyit-kenyit dirempuh angin.

Jeda.

Someng menggaru lengan yang berbincul-bincul. Berkerak-keruk bunyinya. "Nah, aku bawakan barangan yang menajdi keperluan kalian!" Someng menadah tangan ke langit. Dia pura-pura berdoa. Dalam sekedip mata,  terjelma di hadapannya beberapa guni beras, sayur-mayur dan buah-buahan aneka warna.

Penduduk kampung yang sedari tadi terhendap-hendap di sebalik dinding rumah, melongo hairan. Takjub. "Someng berdoa, dan terus makbul!" Orang kampung berbisik-bisik.

Someng ketawa di dalam hati. Bergaung-gaung. Dia tahu , umpannya mengena. "Apa yang kalian tunggu? Allah sudah beri rezeki. Ini milik kalian. Ambillah!"

"Someng pendusta! Janganlah kalian memenuhi ajakannya. Dia licik. Jangan cuba dengar bicaranya walau sedikit. Tumpu dan pandanglah lembar al-Quran itu. Meski kita kebuluran , kehabisan makanan, haiwan ternakan mati, tumbuh-tumbuhan tidak hidup, ingatlah!" Kendana bersila kukuh. Pandangannya teduh, tetapi memancar ketegasan. Dia meraup muka. "Ingatlah satu perkara. Kita akan terus kenyang dengan tidak makan. Bagaiman caranya? Zikrullah!" Sambil menunduk sedikit, Kendana membetulkan letak duduk serban di kepala. Dahinya merenik peluh. "Bukan mustahil kita boleh kenyang dengan zikir. Buktinya akhir zaman nanti, sebelum kemunculan Dajjal, kita akan dilanda kemarau panjang. Tidak pernah ada yang lebih teruk melainkan pada saat itu. Kita akan kehabisan bekalan makanan, dan orang-orang yang hidup pada waktu itu hanya mengisi kekosongan perut dengan zikrullah."

Amanat Kendana beberapa minggu sudah bagai dibawa angin lalu. Mata berkelipuk-kelipuk melihat makanan melimpah ruah. Seorang dua sudah mula membuka pintu rumah, dan ada yang terus terjun dari jendela mahu rebut 'bantuan' Someng. Someng sudah dikelimun. "Ambillah, ini kepunyaan kalian!" Someng semakin menggalakkan. Dia tersenyum puas. Tiga, empat buah penghuni rumah sudah 'melutut' di kakinya

"Kamu pasti tidak sahaja mahukan ini, bukan? Aku yakin kamu dahagakan air. Apakah kamu mahu lihat air yang banyak, mengalir tidak putus-putus?" Someng menanjul lagi.

Beberapa orang penduduk kegiuran, terus mengangguk laju.

Pak Jali mengintai dari renggang jendela. Dia metah terkejut. "Astaghfirullah... Lindungi kami, ya Allah!" Rudi ingin menjenguk, tetapi lengannya segera dipaut. "Jangan Rudi. terus baca al-Quran!" Dahi Rudi berkerut tetapi segera mengangguk. Mak Som menjeling telatah dua beranak. dengan ekor mata . Hatinya cuba dilimpahi zikir.

Penghuni empat buah rumah di baruh telah disihir. Someng mengikat sengkela di kaki-kaki mereka. Tiada siapa pun mampu melihat belenggu ghaib itu, kecuali beberapa orang yang terpilih. Antaranya ialah  Kendana sendiri. Malang, Kendana masih belum pulang. Urusannya banyak. Menangani permasalahan masyarakat bukan terbatas di kampung sendiri, tetapi mencakup daerah-daerah jauh.

Orang kampung yang masih berpegang teguh dengan amanat Kendana hanya mampu melihat jiran-jiran mereka dibawa pergi. Sambil membuntuti Someng mereka leka dengan timbunan makanan yang semakin jauh mengelabui mata.


3.

"SOMENG itu ahli sihir. Jangan mudah terpancing dengan kata-katanya. Saya sudah pesan banyak kali sebelum ni. Jangan pernah cuba mendengar perkataannya. Dia licik, mudah memperdaya. Kita tidak nampak syaitan-syaitan yang mengiringinya." Kulit Kendana yang putih merah seperti disalai.  Hatinya mengkal.  

"Ini musibah besar!" Kendana menekan suara. Suasana di dalam masjid kian membahang. Penghawa dingin sudah lama rosak. Terik mentari di luar bagai menembus ubun-ubun kepala. Hanya sesekali semilir mengusap melalui jendela yang sengaja dingangakan.

"Kendana, apa akan jadi pada orang kampung kita yang ditangkap Someng?" Haji Musa tiba-tiba mencelah. Pak Jali di sisi menjeling sekilas, kemudian mengangguk-angguk.

Kendana menarik nafas. "Wallahua'alam. Cuma setakat yang saya tahu, mereka akan dimangsakan untuk menambah kekuatan sihir Someng. Bagaimana caranya, sama ada dibunuh, dikurung sahaja atau apa, terdinding daripada saya untuk mengetahuinya." Pandangan Kendana mengitar jemaah di hadapannya. Mereka bersila kukuh, tekun mendengar.

"Ini baru ancaman Someng. Belum lagi kemunculan Dajjal." Rudi bersuara, menekur lantai masjid beralas permaidani hijau berbelang kuning yang melapik duduknya.

Kendana meraup muka sambil beristighfar, "Ya, ini baru cubaab kecil jika hendak dibandingkan dengan fitnah al-Masih al-Dajjal Rasulullah pernah bersabda: Semenjak Adam diciptakan sampai terjadinya kiamat, tidak ada hal (cubaan) yang lebih besar daripada Dajjal. Ini membuktikan bahawa fitnah Dajjal di akhir zaman adalah sangat dahsyat."

"Bagaimana fitnah Dajjal tu, Kendana?" soal Pak Jali teruja.

"Fitnah Dajjal adalah fitnah syubhat, iaitu yang hak dilihat sebagai batil, dan sebaliknya. Satu lagi ialah fitnah syahwat. Jadi, fitnah-fitnah ini bukanlah bersifat paksaan dan kekerasan, tetapi bersifat syaithani. Sama seperti fitnah syaitan kepada pengikutnya dan sesiapa saja yang telah terpedaya dengannya."

Jemaah terkedu. Mulut terelopong. Ada kegentaran menjalar di seluruh tubuh, meresap ke pembuluh darah.


4.

RUDI mahu menjenguk anak kambing kematian ibu, terikat di dalam dusun tidak jauh dari rumahnya. Kambing milik Pak Jali itu cukup disayangi Rudi. Moli. Begitu gelaran Rudi terhadapnya. Kambing itu dilihatnya kelmarin sudah kurus kering, bakal mengikuti jejak langkah adik-beradiknya yang sudah ditelan tanah.

Rudi mengambil basikal tua yang disandar di bangsal rumah. Basikal uzur itu ditolak beberapa ketika sebelum dinaiki. Dia mengayuh perlahan.

Rudi masuk ke sebuah lorong sempit. Di kiri kanannya rimbunan semak-samun. Rudi mengayuh berhati-hati. Bibirnya terkumat-kamit mengalun zikir.

Sekonyong-konyong satu lembaga melintas. Rudi hampir terbabas ke dalam longkang kecil di sebelah kiri, mujur sempat dibrek. Rudi meligih. Badannya berpeluh dingin.

Lembaga itu berdiri betul-betul di hadapannya. Dengan segaris senyuman, dan sebiji mata yang tersembul, Rudi rasa seperti mahu pengsan. Someng. Rambutnya hodoh, berjerambai seperti ular hidup meliuk-liuk.

"Astaghfirullahal 'adzim, Astaghfirullahal 'adzim..." Rudi beristighfar berkali-kali, cuba meredakan ketakutan yang mula meraja.

"Kau mahu ke mana, anak muda?" tanya Someng. Pandangannya ditancap ke muka pucat lesi itu.

Rudi tidak menjawab. Anak mata dilarikan. Gusar dikuasai Someng. Rudi berselawat sambil berdoa di dalam hati.

"Jangan takut padaku. Nah, lihat Moli anak kambing kesayanganmu! Dia masih hidup." moli tiba-tiba mengembek di kaki Someng. Ia muncul tiba-tiba. Sekelip mata.

Rudi teringat pesan Kendana. Butir bicaranya bertalun di dalam kepala - Someng penipu. Dia ahli sihir. Jangan dekatinya. Jangan pernah cuba mendengar perkataannya. Someng jangan dilayan!

"Bismillahirrahmanirrahim.."  Rudi mengumpul kekuatan, cuba memusingkan basikal tua itu, kemudian mengayuh laju-laju. Dingin tubuhnya bagai mahu kejang. Serasa-rasa tidak ada lagi kekuatan meneruskan kayuhan. Dia berusaha melawan.

Rudi menoleh di belakang, bimbang dikejar Someng. Tidak ada. Someng sudah ditinggalkan jauh ditelan semak rimba. Rudi segera berkalih ke hadapan. Mengayuh sepantas mungkin. Dia mahu segera sampai di rumah. Tayar basikalnya terlanggar seketul batu besar di tengah jalan. Basikalnya terbalik. Rudi terjerembap.  Tapak tangannya perit. Berdarah. Bibirnya turut rabit.

Ada haluran tangan kasap.

Rudi gamam. "Allahu akhbar!"


5.

"RUDI!"

Adaa getilan di pahanya.

Rudi meronta-ronta. "Allahu akhbar! Allahu akhbar!" Tangannya digawang-gawang sambil berusaha menepis sekuat hati

Tubuhnya digegar-gegar. "Rudi, hei, bangun!"

Matanya perlahan-lahan dibuka. Mak Som bercekak pinggang. "Dah subuh ni. Mimpi apa sampai dahsyat sangat mengigaunya?"

Rudi menggigil. Ketakutan masih menjalar di tubuh.

"Sudah bangun cepat. Dah subuh ni. Entah-entah tidur tak baca doa." leter Mak Som sambil keluar dari biliknya.

Mata Rudi terkesip-kesip. Merenung siling. "Aku mimpi rupanya..."

Saat ingin bingkas bangun dari katil bujangnya, sebuah buku tercampak ke lantai. "Di Ambang Kemunculan Dajjal." Segera dia teringat buku itulah yang tekun ditatapnya semalam sehingga terlena.

"Someng... dajal... Na'uzubillah." Rudi menggeleng-geleng.


Tamat



No comments:

Post a Comment

Macih sudi komen ^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN IKLAN IKLAN IKLAN ...... KLIK KLIK YE IKLAN UNTUK INFO